Wednesday, November 25, 2009

UPSR 2009


TAHNIAH diucapkan kepada pelajar SKBC yang telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR yang diumumkan baru-baru ini.


SKBC melakar sejarah yang tersendiri apabila 18 orang pelajar mendapat 5A dalam UPSR baru-baru ini dan merupakan pencapaian tertinggi untuk Sekolah Kebangsaan Banggol Chicha.Pihak sekolah mengucapkan selamat maju jaya kepada para pelajar yang akan melangkah ke sekolah menengah dan teruskan kecemerlangan anda walau dimana anda berada. Kepada yang kurang bernasib baik dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini, jangan bersedih hati kerana perjalanan anda masih jauh dan teruskan berusaha untuk kejayaan pada masa akan datang..


Keep your good work!!!!

Kem Membaca 1 Malaysia



































































Tuesday, October 27, 2009

MAJLIS KHATAM AL-QURAN PERINGKAT SEKOLAH














































PERKHEMAHAN KOKURIKULUM 2009 (PERKO '09)


Alhamdulillah SKBC telah berjaya dengan jayanya mengadakan Perkhemahan Kokurikulum 2009 (PERKO 2009) peringkat sekolah yang diadakan pada 15-17 Oktober 2009.
Pihak jawatankuasa PERKO 09 menyucapkan jutaan terima kasih kepada guru-guru dan kakitangan SKBC yang bertungkus lumus membanting tenaga dalam menjayakan perkhemahan ini. Terima kasih juga diucapkan kepada kepada sesiapa yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi memastikan perkhemahan ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.










Thursday, September 3, 2009

Makluman: Majlis Sembahyang Hajat Peperiksaan UPSR 2009

MAJLIS SEMBAHYANG HAJAT PEPERIKSAAN UPSR 2009
TARIKH : 4 SEPTEMBER 2009 (JUMAAT)
MASA : 8.00 PAGI
TEMPAT : DEWAN UMMU AIMAN SKBC

Tuesday, September 1, 2009

Tip UPSR: Strategi jawab soalan Bahasa Melayu Pemahaman

SIKAP tidak berhati-hati, gopoh dan malas berfikir panjang sewaktu menjawab soalan adalah antara faktor menyebabkan calon kehilangan markah atau tidak memperoleh jumlah maksimum untuk kertas Bahasa Melayu Pemahaman.
Bagi membantu calon mendapat markah maksimum, beberapa petua diberikan bagi menjawab soalan kertas ini dengan baik.

BAHAGIAN TATABAHASA
Pastikan calon sudah menguasai kesemua aspek penggunaan bahasa dalam bahagian tatabahasa. Langkah ini penting kerana kesemua pilihan jawapan yang diberikan perlu difahami makna atau maksudnya terlebih dulu sebelum memilihnya sebagai jawapan. Berikut beberapa langkah yang perlu dilakukan calon sewaktu menjawab soalan bahagian tatabahasa.

A. Faham

Seperti dikatakan, calon perlu memahami maksud kesemua pilihan jawapan yang diberikan. Kesalahan memilih jawapan berlaku kerana calon tidak memahami pilihan jawapan tersebut. Untuk menjawabnya, ada dalam kalangan calon hanya mengagak maksud jawapan tersebut. Tindakan ini salah kerana calon perlu berusaha memahami maksud pilihan jawapan itu, bukan sekadar mengagak.

Biasanya akan wujud satu atau dua pengganggu jawapan yang paling dekat dengan jawapan yang tepat. Oleh itu, calon perlu benar-benar memahami pilihan jawapan yang disediakan.
Sebaiknya, buatlah catatan ringkas mengenai maksud bagi setiap pilihan jawapan tersebut.

B. Baca

Baca ayat soalan. Fahami betul-betul ayat tersebut dan kesesuaiannya dengan pilihan jawapan. Pilihan jawapan sebeginilah yang biasanya menjadi perangkap terutama kepada calon yang kurang berfikir.

C. Kesan

Calon perlu mengesan klu yang terdapat dalam ayat atau gambar. Ini penting kerana klu inilah yang akan membantu dan memudahkan calon memilih jawapan yang tepat.

D. Pilih

Peringkat ini paling penting. Pilihlah jawapan yang paling tepat dan mengikut kehendak soalan. Oleh itu, fahamkan betul-betul kesesuaian ayat dengan pilihan jawapan.

Selain itu, pastikan calon mengikuti langkah berikut:

* Jawab soalan yang mudah terlebih dulu.
* Jangan membuang masa dengan menjawab soalan yang susah.
* Peruntukkan masa antara 15 hingga 20 minit untuk bahagian tatabahasa.
* Segera jawab soalan bahagian petikan.
* Baki masa perlu digunakan untuk menyemak semula jawapan.

BAHAGIAN PEMAHAMAN
Calon hanya perlu menjawab 10 soalan dalam bahagian pemahaman. Namun begitu, setiap soalan berkait rapat dengan petikan yang disediakan. Antara langkah yang perlu dilakukan sewaktu menjawab soalan petikan ialah:

A. Baca dan faham
Calon perlu membaca petikan dan memahaminya terlebih dulu. Selepas itu barulah membaca soalan dan memahami pilihan jawapan yang disediakan. Jangan menjawab soalan tanpa membaca petikan terlebih dulu.

B. Cari pembayang jawapan
Biasanya klu atau pembayang jawapan ada dalam petikan. Calon perlu menggariskan klu tersebut.

C. Penyesuaian
Sesuaikan pembayang yang ditanda atau digariskan dengan pilihan jawapan diberikan.

D. Memilih
Jika calon sudah jumpa pilihan jawapan yang sesuai dengan pembayang ditanda atau digariskan, pilihlah jawapan tersebut mengikut kehendak soalan. Jangan sesekali memilih jawapan yang tidak ada pembayangnya dalam petikan.

Langkah di atas perlu dilakukan dengan penuh teliti. Namun begitu beberapa kelemahan perlulah diatasi agar calon tidak melakukan kesilapan merugikan. Antara kelemahan tersebut ialah:

i. Tidak membaca arahan untuk setiap soalan.
ii. Menjawab soalan dengan tergesa-gesa.
iii. Kurang memberi tumpuan kepada kata kunci pada setiap soalan.
iv. Membuang masa dengan soalan yang susah.
v. Tersalah menanda jawapan yang sepatutnya pada kertas jawapan.
vi. Menghabiskan masa terlalu lama membaca petikan.
vii. Tidak memadam jawapan yang salah dengan bersih pada kertas OMR.

Ingat!:
Sebaik saja selesai menjawab semua soalan, kira jumlah tanda hitam di atas kertas OMR. Pastikan tanda hitam itu cukup 40. Jika kurang, bermakna ada soalan yang belum berjawab, tetapi jika lebih, mungkin ada soalan yang ditanda dua jawapan. Oleh itu, calon perlu semak semula.

sumber : Berita Harian, Selasa 1 sept 09

Sunday, August 16, 2009

Kesihatan dan keselamatan diri

Dalam tempoh masa yang singkat ini sudah tentu murid-murid yang akan menduduki peperiksaan UPSR sudah membuat persediaan yang rapi. Ramai yang sudah mengulang kaji topik-topik dalam semua mata pelajaran malah ada juga yang menumpukan ke arah teknik menjawab soalan dengan menghadiri kelas tambahan atau bengkel khusus membincang tentang teknik menjawab soalan agar dapat menjawab dengan tepat dan mendapat markah yang maksimum.

Walau bagaimanapun murid-murid juga harus memberi perhatian terhadap kesihatan dan keselamatan diri. Kedua-dua aspek ini sama pentingnya kerana jika tidak diberi perhatian kesannya nanti akan menjejaskan proses menghadapi peperiksaan.
Cuba murid-murid bayangkan jika pada hari peperiksaan itu murid-murid mengidap sesuatu penyakit seperti demam, pening kepala, batuk, sakit perut atau menghadapi kecederaaan di anggota badan. Sudah tentulah suasana peperiksaan itu akan terjejas, perasaan juga terganggu dan prestasi diri juga akan menurun. Menyedari bahawa aspek kesihatan dan keselamatan diri ini penting maka langkah pencegahan dan perlindungan harus dilakukan agar perkara yang tidak diingini ini tidak berlaku.

• Makanan dan minuman: Makanan dan minuman harus dikawal kerana ia menjadi punca kepada penyakit. Pada masa sekarang ialah musim buah-buahan. Buah durian contohnya memanglah sedap tetapi jika dimakan berlebihan ia akan memudharatkan kesihatan. Keadaan yang panas itu akan menyebabkan kita sakit tekak, pening kepala dan demam. Oleh itu cubalah elakkan daripada memakannya secara berlebihan. Minuman berkarbonit, berais, atau makanan yang terlalu pedas, terdedah kepada habuk atau lalat mungkin akan menjejaskan sistem penghadaman kita. Ini akan mengakhibatkan keadaan perut tidak selesa atau boleh menyebabkan berlakunya penyakit-penyakit kronik yang lain.

Keselamatan diri: Persekitaran yang berjerebu, panas terik atau keadaan hujan boleh menjejaskan kesihatan seperti demam, pening kepala atau sesak nafas. Dalam hal ini murid-murid harus menghindarkan diri daripada bermain atau terdedah dengan keadaan cuaca yang dinyatakan. Anda juga harus berhati-hati dengan penularan berbagai jenis virus yang mudah dijangkiti melalui air atau udara, serangga seperti nyamuk atau makanan yang terdedah dengan kekotoran di mana ia boleh menjejas kesihatan kita. Anda juga harus menghindari aktiviti-aktiviti yang berbahaya seperti memacing ikan di tasik atau di kolam, berenang di bekas lombong atau di sungai, bermain dengan mainan bahaya seperti bermain mercun di awal bulan ramadhan, menunggang basikal di jalan raya tanpa mengikut peraturan jalan raya atau bergurau dengan rakan-rakan secara kasar. Kesemua aktiviti ini mungkin akhirnya mengundang kecelakaan.

Perkara-pekara di atas boleh mengurangkan keseronokan kita belajar. Oleh itu janganlah bertindak sedemikian rupa, seboleh-bolehnya setiap aktiviti riadhah itu ditemani oleh ibu bapa masing-masing. Wujudkan suasana yang bebas dari segala ancaman penyakit atau suasana yang boleh mengurangkan daya penumpuan ke arah pembelajaran.

Wednesday, July 22, 2009

Gerhana Matahari Tanda Kebesaran Tuhan

Gambar menunjukkan Gerhana hampir 70% menutupi matahari berlaku di Kuala Lumpur pada 4 petang hingga jam 7 malam pada 26 Januari 2008.


Fenomena gerhana matahari separa akan dapat dilihat terutama di kawasan utara Semenanjung Malaysia khususnya Kangar, Perlis mulai jam 8.23 pagi ini (22 Julai 2009). "Gerhana matahari perlu dilihat sebagai satu lagi kejadian yang membuktikan kebesaran Allah yang berkuasa ke atas makhluknya termasuk menentukan peraturannya.

Apa yang perlu dilakukan masyarakat Islam, selain melihat keagungan Allah itu ialah mereka hendaklah mensyukuri melalui solat sunat gerhana matahari diikuti dengan khutbah khas seperti yang dilakukan Rasulullah SAW ketika fenomena itu berlaku pada tahun 8 Hijrah.

Rakyat Malaysia boleh melihat gerhana matahari penuh itu hari ini dengan melayari laman web yang membuat siaran langsung secara webcasting seperti www.exploratorium.edu/eclipse/2009/index.html, www.saros.org/index.html, www.live-eclipse.org dan http://www.eclipse-tv.com/.

Gerhana matahari separa yang sukar dilihat dengan mata kasar, akan berlangsung selama lebih sejam iaitu bermula 8.23 pagi dan berakhir pada 9.48 pagi.

Sebahagian wilayah dari India sehingga Shanghai, China dan Jepun akan bergelap hampir enam minit, berikutan fenomena gerhana matahari penuh yang berlaku pagi ini, yang dianggap gerhana paling lama bagi abad ke-21. Bagaimanapun, Malaysia yang pernah mengalami gerhana matahari penuh di Kudat Sabah pada November 1995, dan beberapa negara lain di Asia, sebaliknya hanya mengalami gerhana matahari separa.

Menurut Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia, Terengganu, melalui laman webnya, www.falak.udm.edu.my, penduduk negara ini hanya berpeluang menyaksikan gerhana itu dalam fasa separa dalam peratus maksimum yang kecil antara tiga peratus hingga 18 peratus saja.

Gerhana matahari separa berlaku selepas waktu Subuh, namun ia semakin jelas dari jam 8.24 pagi sehingga 9.56 pagi ini. Gerhana matahari terjadi apabila bulan yang sedang mengelilingi bumi lalu bersetentangan dengan bumi dan matahari. Bayangnya yang terkena pada permukaan bumi membentuk gerhana.

Fenomena ini sebenarnya jarang berlaku dengan kemungkinan hanya sekali atau dua kali dalam setahun kalendar. Kali terakhir negara mengalami gerhana matahari ialah pada 26 Januari lalu.

Gerhana matahari terbahagi kepada empat jenis, iaitu gerhana penuh, gerhana annulus (cincin), gerhana hibrid (penuh dan cincin) dan gerhana separa (sebahagian). Gerhana separa merujuk peringkat awal atau akhir suatu gerhana matahari, atau bahagian bumi yang masih dapat melihat gerhana, tetapi tidak akan dapat melihat gerhana matahari fasa penuh atau cincin. Dilaporkan, masyarakat Jepun bakal meraikan gerhana penuh dengan percikan bunga api, manakala di India, wanita hamil tidak dibenarkan keluar rumah bagi mengelak cahaya halimunan matahari dan pelbagai tahyul berkaitan gerhana matahari.

Catatan sejarah Islam memperlihatkan gerhana matahari berlaku pada 10 Rabiulawal tahun kelapan Hijrah. Kebetulan gerhana matahari itu berlaku sewaktu kematian putera Baginda SAW, iaitu Ibrahim ketika usianya baru 70 hari.

Maka Rasulullah SAW pun bersabda yang bermaksud: "Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan Allah. Allah menakutkan hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan kematian seseorang daripada kalangan manusia. Maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu." – (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abi Mas'ud al-Ansari)

Sesungguhnya berlakunya gerhana matahari atau bulan memang menjadi tanda kebesaran Allah dan supaya manusia bersyukur terhadap-Nya tanpa mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Imam an-Nasaie meriwayatkan, Saidatina Aishah berkata: "Dan sesungguhnya sudah jelas cahaya matahari, maka Rasulullah SAW berkhutbah di hadapan orang ramai sambil memuji Allah dan sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang.

(Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Agama/20090722013026/Article/index_html)