Wednesday, July 22, 2009

Gerhana Matahari Tanda Kebesaran Tuhan

Gambar menunjukkan Gerhana hampir 70% menutupi matahari berlaku di Kuala Lumpur pada 4 petang hingga jam 7 malam pada 26 Januari 2008.


Fenomena gerhana matahari separa akan dapat dilihat terutama di kawasan utara Semenanjung Malaysia khususnya Kangar, Perlis mulai jam 8.23 pagi ini (22 Julai 2009). "Gerhana matahari perlu dilihat sebagai satu lagi kejadian yang membuktikan kebesaran Allah yang berkuasa ke atas makhluknya termasuk menentukan peraturannya.

Apa yang perlu dilakukan masyarakat Islam, selain melihat keagungan Allah itu ialah mereka hendaklah mensyukuri melalui solat sunat gerhana matahari diikuti dengan khutbah khas seperti yang dilakukan Rasulullah SAW ketika fenomena itu berlaku pada tahun 8 Hijrah.

Rakyat Malaysia boleh melihat gerhana matahari penuh itu hari ini dengan melayari laman web yang membuat siaran langsung secara webcasting seperti www.exploratorium.edu/eclipse/2009/index.html, www.saros.org/index.html, www.live-eclipse.org dan http://www.eclipse-tv.com/.

Gerhana matahari separa yang sukar dilihat dengan mata kasar, akan berlangsung selama lebih sejam iaitu bermula 8.23 pagi dan berakhir pada 9.48 pagi.

Sebahagian wilayah dari India sehingga Shanghai, China dan Jepun akan bergelap hampir enam minit, berikutan fenomena gerhana matahari penuh yang berlaku pagi ini, yang dianggap gerhana paling lama bagi abad ke-21. Bagaimanapun, Malaysia yang pernah mengalami gerhana matahari penuh di Kudat Sabah pada November 1995, dan beberapa negara lain di Asia, sebaliknya hanya mengalami gerhana matahari separa.

Menurut Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia, Terengganu, melalui laman webnya, www.falak.udm.edu.my, penduduk negara ini hanya berpeluang menyaksikan gerhana itu dalam fasa separa dalam peratus maksimum yang kecil antara tiga peratus hingga 18 peratus saja.

Gerhana matahari separa berlaku selepas waktu Subuh, namun ia semakin jelas dari jam 8.24 pagi sehingga 9.56 pagi ini. Gerhana matahari terjadi apabila bulan yang sedang mengelilingi bumi lalu bersetentangan dengan bumi dan matahari. Bayangnya yang terkena pada permukaan bumi membentuk gerhana.

Fenomena ini sebenarnya jarang berlaku dengan kemungkinan hanya sekali atau dua kali dalam setahun kalendar. Kali terakhir negara mengalami gerhana matahari ialah pada 26 Januari lalu.

Gerhana matahari terbahagi kepada empat jenis, iaitu gerhana penuh, gerhana annulus (cincin), gerhana hibrid (penuh dan cincin) dan gerhana separa (sebahagian). Gerhana separa merujuk peringkat awal atau akhir suatu gerhana matahari, atau bahagian bumi yang masih dapat melihat gerhana, tetapi tidak akan dapat melihat gerhana matahari fasa penuh atau cincin. Dilaporkan, masyarakat Jepun bakal meraikan gerhana penuh dengan percikan bunga api, manakala di India, wanita hamil tidak dibenarkan keluar rumah bagi mengelak cahaya halimunan matahari dan pelbagai tahyul berkaitan gerhana matahari.

Catatan sejarah Islam memperlihatkan gerhana matahari berlaku pada 10 Rabiulawal tahun kelapan Hijrah. Kebetulan gerhana matahari itu berlaku sewaktu kematian putera Baginda SAW, iaitu Ibrahim ketika usianya baru 70 hari.

Maka Rasulullah SAW pun bersabda yang bermaksud: "Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan Allah. Allah menakutkan hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan kematian seseorang daripada kalangan manusia. Maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu." – (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abi Mas'ud al-Ansari)

Sesungguhnya berlakunya gerhana matahari atau bulan memang menjadi tanda kebesaran Allah dan supaya manusia bersyukur terhadap-Nya tanpa mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Imam an-Nasaie meriwayatkan, Saidatina Aishah berkata: "Dan sesungguhnya sudah jelas cahaya matahari, maka Rasulullah SAW berkhutbah di hadapan orang ramai sambil memuji Allah dan sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang.

(Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Agama/20090722013026/Article/index_html)